ads

Wednesday, September 29, 2010

boleh! pasti boleh..

BOLEH! PASTI BOLEH
by: amir hamzah




Nizam menggerutu sendiri. “ Salahku,salahku jugak!”bentak hatinya. “Salahku!”Dia mengerling jam tangannya walhal baru setengah minit lepas dilihatnya. Gelabah benar Nizam. Penghawa dingin di dalam ERL itu rasanya belum mampu mengeringkan peluh di dahinya. Belakang bajunya masih basah kerana berlari daripada stesen LRT Putra KL Sentral ke stesen ERL sebentar tadi yang terletak berhampiran dengannya.

“Salahku, salahku jugak!”

  *                                           *                                             *
Malam sebelum itu...

                Bunyi sekumpulan nyamuk meriang di tepi telingaku. Papp! Aku cuba menepuk. Satu pun tak lekat. Aku hairan, tingkap dan pintu bilikku ini sudah kututup rapat sejak sebelum Asar lagi. Bagaimana makhluk tuhan yang kecil ini boleh menyelinap masuk ke dalam bilik ini?

                Fokus dan kosentrasi ku ini kerap kali hilang kerana makhluk penghisap darah ini. Lapar dan dahaga masih boleh kutahan. Tapi bingit bunyi nyamuk ini lebih daripada kedua-duanya itu bagiku.

                Kerja yang bertimbun ini mahu ku selesaikan sebelum malam Tahun Baru esok kerana aku sudah punya rancangan bersama Razak(kupanggil Jak saja) dan isterinya yang baru dikahwininya 5 bulan lepas. Kami sepakat meraikannya di KLCC.Sebelum pertunjukan bunga api di situ bermula, kami mahu menonton wayang dahulu. “Filem Melayu yang akan mengubah persepsi kau tentang industri filem negara!”kata Jak di rumahnya petang semalam. Teruja aku mendengarnya.

                Oleh yang demikian, kerjaku ini harus diselesaikan seberapa segera. “By hook or by crook!” gurau Yan pula. “Kami tak mahu dengar kau mengomel pasal kerja kau lusa malam.” Mujurlah kerjaku ini hanya melibatkan sedikit programming. Jadi mudahlah aku menyiapkannya dengan komputer ribaku ini.

TETT!! TETT!! TETT!! TETT!!

                Berbunyi handphoneku menandakan satu mesej masuk. Aku mengeluh kecil.”Siapa pulaklah yang hantar mesej waktu-waktu sibuk ni?”aku bertanya sendiri.Sedikit marah. Memang aku jarang berbalas mesej (jika adapun, sangat ringkas) dengan sesiapa saja termasuk dengan ibuku di kampung. Apatah lagi aku tiada awek untuk bertanya khabar, bertanya sudah makankah belum dan lain-lain hal yang nampak remeh tapi bagiku..mungkin agak sweet.

Bukan sekali  kawan-kawanku cuba memasang-masangkanku dengan rakan mereka. Ada juga yang memasangkanku dengan adik atau kakak mereka sendiri. Paling lucu, Jak cuba memasangkanku dengan bekas tunangnya!

Namun, aku tak berminat dengan semua ‘rancangan-rancangan mulia’ mereka itu. Aku lebih gemar begini(bukan kerana aku gay, ya?). Mungkin kerana kau masih menunggu kehadiran gadis itu ke dalam hidupku semula.

Hanya Jak saja yang tahu kisah itu. Jak memang rapat denganku sejak kami masih kecil lagi. Berasal daripada kampung yang sama, kami bagaikan isi dengan kuku. Ketika hari perkahwinannya juga, akulah yang menjadi pengapitnya. Pada masa itulah dia memperkenalkanku dengan bekas tunangnya!

Gadis yang kutunggu itu kukenali sejak kecil lagi. Berambut lurus dan pendek. Matanya sepet, bukan ala-ala Cina, tapi ada sedikit bundar yang lebih menampakkan seakan-akan orang Siam dan kulitnya kuning langsat. Dia sering menolong ibunya menjual nasi lemak di hadapan sekolah rendahku.

Setiap pagi, Jak dan aku akan singgah membeli di gerai nasi lemak ibunya.Dia mungkin baru  beumur empat atau lima tahun. Masih comel keanak-anakan, dia akan membantu ibunya membungkuskan kuih karipap untuk Jak; sambil memegang botol susunya! Aku lebih gemar membeli nasi lemak ibunya yang amat sedap rasanya. Jarang sekali kubeli kuih di situ.

Selesai membeli, Jak akan berteriak kuat-kuat,” Terima kasih makcik gemuk!” lalu berlari meninggalkanku terkulat-kulat di situ. Dan ibunya itu(kemudiannya baru kuketahui panggilannya Cik Mah) akan berpura-pura menghambat Jak yang nakal itu dengan senduknya. Aku pula akan ketawa berdekah-dekah geli hati sambil menjeling si kecil comel itu yang turut ketawa kecil melihat akan keletah Jak dan ibunya. Esoknya, aku dan Jak akan datang lagi dan Jak akan berteriak lagi dan dihambat lagi. Itulah kenangan manisku pada awal-awal tahun persekolahanku.

Usiaku meningkat hari demi hari. Pada hari pertama Jak dan aku akan menghadapi peperiksaan UPSR, si kecil itu yang baru memasuki tahun ketiga persekolahnnya tersenyum kepadaku dan berkata, “Lisa nak Abang Ijam buat periksa betul-betul ya?” Hatiku tersenyum kembang. Jak di sebelahku mencebik bibir. Cemburu barangkali. Siapa suruh dia sering manyakat ibu Lisa? Ketika kuhulurkan not satu ringgit kepadanya, jari kami tersentuh. Kami tersipu-sipu menahan malu. Kenangan cinta kanak-kanakku..

TETT!! TETT!! TETT!! TETT!!

Sekali lagi handphoneku berbunyi mengejutkan lamunanku. Aku bangkit ke birai katilku untuk mengambil handphone. Jarang sekali aku mendapat dua mesej dalam selang masa yang pendek. Kedua-duanya dari Yan, isteri Jak. Kubaca yang pertama:



'Abg Jak pelawa you mkn dinner nasi lemak d umah. Ns lemak spesel katenya. Die suh you berenti wat keje tu..hehe'


Kubuka pula mesej kedua:


'Oi ijam!nk dtg ke x?mai la dtg borak2-jak =) '


 Nasi lemak special? Pasti tak sesedap nasi lemak Cik Mah. Aku yakin. Nasi lemak Cik Mah tidak terlalu lembik dan tidak terlalu keras nasinya. Sambalnya boleh menerbitkan peluh di dahi, bibir dan memercikkan air hidung. Sungguh luar biasa. Digaul pula dengan ikan bilis yang digoreng sederhana garing, telur rebus dipotong separuh dengan isi kuningnya yang lembik dan putih luarannya tegang bagai ditarik-tarik. Sungguh nikmat walaupun hanya membayangkannya.


                Aku mula merasakan nasi lemak Cik Mah adalah yang terbaik pernah kumakan ketika aku melangkahkan kaki ke sekolah berasrama penuh pada awal tingkatan satu. Nasi lemak di dewan makan asramaku bagaikan langit dengan bumi jika dibandingkan dengan nasi lemak Cik Mah.

                Kadang-kadang aku cemburu pada Jak kerana dia masih bersekolah di kampung halaman kami. Maksudnya dia boleh makan nasi lemak Cik Mah. Dan yang lebih penting,  dia juga boleh menatap wajah Lisa setiap hari! Menyesal pula aku mendapat keputusan yang bagus dalam UPSR. Jika tidak, tak perlulah aku memendam rasa rindu pada gadis kecil itu. Tapi kekesalanku itu kupadam demi masa depanku. Mengapa harus aku berasa kesal jika aku pasti Lisa juga menyimpan perasaan terhadapku?

Lagipula, kerinduanku untuk bertemu dengan Lisa akan lenyap setiap kali aku pulang ke kampung halamanku. Aku pasti akan singgah di gerai Cik Mah untuk membeli nasi lemak sambil mencuri-curi pandang ke arah Lisa. Dia kulihat semakin berubah menjadi seirang gadis yang terserlah kelembutan budi pekertinya, terpancar kelembutan dan keayuan waMahnya dan semakin manis raut senyumannya. Cik Mah pula  kulihat tersenyum senang apakala melihat aku berbual-bual pendek dengan Lisa yang baru memasuki sekolah menengah itu.

Daripada Jak dan rakan-rakan sekampungku, aku tahu Lisa seorang pelajar yang popular di sekolah kampung itu. Ramai pelajar lelaki menyimpan perasaan terhadapnya namun setakat ini kesemua cinta itu ditolak mentah-mentah oleh Lisa. Mungkin dia tunggu kau agaknya, kata Jak pada satu petang. Hatiku tersenyum girang mendengarkannya.

Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Bulan pula cepat sekali digantikan oleh kiraan tahun. Akhirnya aku akan menghadapi peperiksaan paling besar sepanjang alam persekolahanku, yakni peperiksaan SPM. Aku benar-benar bertungkus-lumus menelaah buku ketika itu. Fikiran dan rindu pada Lisa kutolak jauh-jauh kerana aku yakin sebaik tamat peperiksaan ini, aku punyai banyak masa untuk menyambung kembali perhubungan kami berdua yang tenggelam timbul bak sabut di lautan ketika ini.

Pada hari terakhir SPM dijalankan, aku menghubungi Jak sebaik keluar daripada dewan peperiksaan untuk meluahkan kegembiraanku kerana berjaya menamatkan SPM sekaligus melangkah keluar daripada alam persekolahan. Namun aku dikejutkan oleh berita yang tidak menyenangkan daripada sahabat baikku itu. Tentang Cik Mah. Dia meninggal dunia, kata Jak.Aku terpana mendengarnya. Mujurlah kuketahui berita ini selepas selesai peperiksaanku. Lisa pula bagaimana, kusoal Jak. Dia dibawa pergi oleh ibu saudaranya untuk dipelihara di bandar, balas Jak. Lemah lututku mendengarkan jawapan Jak itu. Mukaku pucat lesi. Dia pergi sebaik habis kerja pengebumian ibunya. Seorang rakan-rakan  pun tak tahu ke mana dia dibawa pergi.

Rasa aku, itulah kali terakhir sepanjang 10 tahun yang lepas(aku kini berumur 27 tahun), menangis semahu-mahunya. Kehilangan gadis berambut lurus panjang itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam pada diriku. Lirikan halus matanya akan kurindui selalu. Senyuman yang sentiasa terukir setiap kali aku singgah membeli nasi lemak takkan dapat kulihat lagi.

Dan aku tidur dalam kerinduanku pada Lisa dan dua mesej yang lupa kubalas pada malam itu…

  *                                           *                                             *
Keesokan harinya, Nizam memandu keretanya ke rumah Razak selepas solat Zohor. Baru pukul 3, namun jalan masuk ke Kuala Lumpur mula sesak dengan kenderaan. Berpusu-pusu warga Lembah Klang melalui gerbang Kota Selangor berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya itu. Kebanyakannya bersiap untuk meraikan sambutan Tahun Baru bersama sahabat dan keluarga. Nizam juga tidak terkecuali untuk pergi meraikannya bersama Razak dan isterinya, Izyan.

Nizam merancang untuk memarkir keretanya di rumah Razak sebelum pergi bersama pasangan pengantin baru itu ke KLCC dengan LRT Putra sahaja. Mereka lebih gemar menaiki pengangkutan awam pada waktu-waktu yang dijangka sibuk seperti pada penghujung petang ini.

“Wah, smart kau hari ni Ijam. Ada apa-apa ke?”kata Razak semasa menjemput Nizam masuk ke rumahnya. Nizam hanya tersengih.

“Kita tunggu Yan bersiap kejap, tau? Kau makan je la apa-apa yang ada ni dulu,”ujar Razak sambil membawa sedulang hidangan.

“Eh, nasi lemak? Semalam punya ke?”tanya Nizam.

“A’ah. Yan letak kau punya bahagian  dalam peti ais semalam. Makanlah, dia dah panaskan sebelum kau sampai tadi.” Razak tersenyum nipis.

Nizam masih kenyang sebenarnya tapi untuk menjaga hati sahabat lamanya ini, dia menyuap sedikit nasi ke dalam mulutnya.

 Dia terpana.”Tak mungkin,”hatinya berkata. Dia mencolek sedikit sambal nasi lemak itu lalu disuapnya ke dalam mulut. Tak mungkin! Matanya terbeliak sedikit. “Ni bukan ke nasi lemak arwah Cik…..?”Nizam separuh menjerit.”Lisa tahu resipi nasi lemak ibunya,” Razak memintas percakapan Nizam.”Aku dah ajak kau datang malam tadi, tapi kau..”

“Mana Lisa??”

Razak ketawa kecil lalu menjawab,”Lisa sebenarnya kawan sekolah Yan setelah dia berpindah ke bandar. Dia datang tumpang tidur di sini malam tadi.”

“Mana Lisa, Jak?!”

“Dia ke airport sejam lepas.” Nizam membelalakkan mata meminta penjelasan lanjut. “Lisa akan menyambung pengajiannya di UK, Ijam,”kata Razak lagi. “Flightnya pukul 9.25 malam ni. Maaf sebab..”

Sebelum Razak menghabiskan ayatnya itu, Nizam bangkit daripada kerusinya. Menyarung kasutnya. Berlari keluar dengan segera.

“Kau nak ke mana tu Ijam?”teriak Razak.

“KLIA! Kejar Lisa!”

“Tapi Lisa, dia..,”Razak mahu memanggil Nizam kembali tapi Nizam sudah memecut ke arah stesen LRT berhampiran dengan rumah Razak.

“Eh, ke mana pulak Ijam pergi tu, bang?”Izyan keluar daripada bilik sambil membetul-betulkan tudungnya.

“Malam ni kita sambut New Year berdua je la,yang.”Razak tersenyum penuh makna. Izyan tercengang hairan.
  *                                           *                                             *
Aku menggerutu sendiri. “ Salahku,salahku jugak!”bentak hatiku. “Salahku!”Kukerling jam tanganku walhal baru setengah minit lepas kulihat. Aku benar-benar gelabah. Penghawa dingin di dalam ERL itu rasanya belum mampu mengeringkan peluh di dahiku. Belakang bajuku masih basah dek peluh kerana berlari daripada stesen LRT Putra KL Sentral ke stesen ERL sebentar tadi yang terletak berhampiran dengannya.

Tidak ramai orang yang kuperhatikan dalam gerabak ini. Mujur juga, jika tidak pasti terkesan bau hamisku ini. Hamis? Apa pula kata Lisa melihat aku muncul dengan sebegini rupa.

Tapi persoalan yang lebih penting, adakah dapat kubertemu dengannya? Dapatkah? Menurut Jak tadi, Lisa telah bertolak sejam lebih awal daripada kehadiranku ke rumahnya tadi. Geram pula aku pada Jak.

Mengapa tidak diberitahu kepadaku lebih awal tentang kedatangan Lisa ke rumahnya?Adakah kerana Lisa tidak membenarkan Jak berbuat demikian? Jika benar, kenapa pula? Kerana Lisa sudah bertunang? Atau sudah punya teman istimewa sendiri? Fikiranku mula berfikir perkara-perkara yang negatif. Logik juga jika itu sebab Lisa tidak membenarkan Jak memberitahuku awal-awal tentang kehadirannya semalam.

Jika tadi aku yang bersungguh-sungguh mahu mengejar Lisa, kini aku mula berkira-kira mahu berpatah balik saja. Kalaulah ERL ini bergerak perlahan (seperti komuter yang SANGAT perlahan itu!), pasti sudah kuterjun saja dari gerabak ini. Macam cerita cowboy dulu-dulu tu. Aku cuba menghiburkan hatiku sendiri.

Namun bila mengingatkan kepayahan dan kesudahan yang telah kutempuhi untuk mencari Lisa sejak 10 tahun lepas, kumatikan niat untuk berpatah balik itu. Ya, aku sudah penasaran sebelum ini. Maka apakah yang boleh menghalang gerak hatiku kali ini?

Kuingat lagi, sesudah tamat persekolahanku 10 tahun lepas, aku mula mencari Lisa di merata tempat. Jika rakan-rakanku yang lain menggunakan kesempatan cuti panjang ini untuk melakukan kerja sambilan, aku pula menggunakannya untuk mencari Lisa.

Aku bermula dengan dengan bertanya-tanya pada penduduk kampung terutama jiran-jiran arwah Cik Mah. Mungkin mereka dapat memberikanku sedikit petunjuk di mana ibu saudara Lisa tinggal. Melalui maklumat yang ada, aku bergerak ke Alor Setar, bandar yang MUNGKIN didiami oleh keluarga ibu saudara Lisa. Rumah yang kutuju itu kosong. Menurut pakcik yang menetap di sebelah rumah itu, ibu saudara Lisa (gelarannya Cik Sal) sudah setahun lebih berpindah daripada situ. Mungkin ke Melaka atau Seremban, kata orang tua itu lagi. Dia juga tidak pasti. Adat kebanyakan orang kota, tidak berapa endahkan hal-hal dengan jiran tetangga.

Aku tidak berputus asa. Aku pergi ke Seremban. Dengan muka yang tebal, aku pergi ke sekolah-sekolah menengah di sekitar Seremban. Aku pinta untuk melihat rekod pendaftaran pelajar di sekolah itu. Di kebanyakan sekolah, aku dihalau oleh pengurusan sekolah kerana gagal menunjukkan sebab yang kukuh untukku berbuat demikian. Malahan ada pihak sekolah yang menghubungi polis kerana permintaanku yang mencurigakan mereka itu.

Aku lari ke Melaka pula. Namun, hasilnya tetap sama. Aku gagal mencari Lisa. Setelah 5 bulan, aku kembali ke kampung untuk menyediakan persiapan dan keperluan untuk kusambung pengajianku. Dan aku teruskan pencarianku setiap kali cuti semester semasa dalam pengajian tinggiku.

Iklan-iklan di akhbar juga kubeli. Ruang mencari teman-teman lama yang terpisah di majalah-majalah juga kupenuhi. Masih gagal. Kawan-kawan yang lain menyuruhku melupakan saja kegilaanku itu. Orang cantik macam Lisa pasti sudah ada teman istimewa, kata mereka. Tapi aku degil. Jadi, tidaklah pelik jika Jak sanggup memperkenalkanku kepada bekas tunangnya dengan harapan aku menamatkan pencarianku, bukan?

Mungkin kedegilanku itu begitu tinggi kerana aku tidak mendengar sendiri kata hati Lisa. Oleh itu, aku masih menaruh harapan padanya walaupun mungkin pada hakikatnya dia sudah melupakanku. Nah, kini peluang itu muncul untuk aku menyelesaikan masalahku ini. Once and for all, bisik hatiku. Aku tetapkan jiwa dan ragaku.

“We will be arriving at KLIA airport any moment from now. Please make sure you do not leave any of your belongings behind. Thank you.”

 Suara lunak daipada pembesar suara dalam gerabak itu menyebabkan aku menghela nafas panjang sambil merancang strategiku seterusnya. Sebaik pintu gerabak itu terbuka, aku melompat keluar. Kulihat jam tanganku. “Pukul  7 malam,”bisik hatiku. ”Penerbangan antarabangsa paling lewat kena check-in adalah sejam sebelumnya.”Aku punya masa setengah jam saja untuk mencari Lisa. Harapan tidak baik.

Aku mula berkira-kira mahu  berlari ke arah pintu perlepasan untuk mengecam satu-persatu orang yang melalui pintu itu. Peluh dingin berlari laju di dahiku. Aku mula menghayun ka..ki..ku..un..tuk..ber..la…. Tiba-tiba kudengar suara itu..

“Abang Ijam?...”

Kutoleh ke belakang. Seorang gadis bertudung ayu, menarik sebuah beg troli besar tersenyum padaku. Dia keluar daripada gerabak ERL yang sama denganku tadi. Aku kenal benar gadis itu. Gadis yang kurindui raut waMahnya. Lisa!!

“Abang Ijam buat apa kat sini?”

“Lis..Lisa?”aku tergagap menjawab pertanyaan Lisa.

“Lisa perhatikan Abang Ijam dari Stesen KL Sentral tadi. Tapi nak tegur segan.” Lisa tunduk sambil menuntunkan senyuman kecil.

Aku melopong seketika. Orang yang kukejar sudah berhampiranku sejak tadi lagi!

“Abang datang sini nak jumpa Lisa la,”kataku setelah mengumpulkan segala kekuatan untuk menjawab pertanyaannya tadi.

Lisa tersipu malu.”Yeke? Patutlah Lisa tengok abang macam tak keruan je dalam ERL tadi. Abang Jak tak pesan apa-apa ke pada abang?”dia bertanya.” Lisa sebenarnya dah tinggalkan pesan Lisa untuk abang pada Abang Jak tadi.”

“Eh, takde dia cakap apa-apa pun tadi.”

“Cuba abang tengok mesej dalam handphone abang tu. Abang Jak kata dia dah hantar sms pesanan Lisa tu pada abang masa abang kejar Lisa ke sini tadi.”

Aku membeliakkan mata. Drama apakah ini? Jak ada hantar sms padaku ke tadi? Aku mengeluarkan handphoneku. 1 message received. Aku melihat Lisa sambil tersenyum.

“Bacalah,”Lisa berkata sekan berbisik padaku. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya itu.

Kubuka lalu kubaca:

'Apsal ko lari cepat sgt?aku nak bgtau ko ni pesan lisa. Die suh aku bgtau ko supaye jgn nakal2 kat cni =p  . Tnggu smpai die balek .kalo ko rindu sgt, g jumpe di kt london nun.nnti aku bg alamat die..'



Aku ternganga sambil membeliakkan mata. Lisa sudah menutup mulutnya menahan ketawa.

“Abang nak Lisa sendiri yang pesan begitu pada abang sekarang,”kataku sambil tersenyum melirik pada Lisa. Dadaku terasa sangat lapang kini. Lapang selapang-lapangnya!

“Baiklah,”Lisa menarik nafas menahan ketawanya lalu tersengih menampakkan menampakkan giginya yang tersusun rapi.

“Lisa nak Abang Ijam jangan nakal-nakal masa Lisa pergi sana nanti. Lisa nak Abang Ijam tunggu sampai Lisa balik dengan segulung ijazah. Lisa nak Abang Ijam datang ke sana kalau Abang Ijam rindu sangat-sangat pada Lisa!”

“Boleh tak bang? Boleh? Boleh?”

Aku terpana. Aku lihat matanya dalam-dalam. Mata yang kutunggu-tunggu untuk kulihat kembali dalam 10 tahun ini. Mata itu buntang melihat kembali ke dalam mataku. Melalui mata itu, aku tahu jawapan yang akan kuberikan padanya.BOLEH!PASTI BOLEH!  

Tamat

3 luahan perasaan =):

Unknown said... Reply To This Comment

wah!!
so sweet...
alangkah indahnya... =)
terbaek la!

megi said... Reply To This Comment

encik amir rumate pakcik ek....
no komen....

nyonya penang said... Reply To This Comment

cipak: haaaa..tu laa..suwit kan...

cik megi: xlah..yg g ngan pakcik amik kete kat umah awak dulu tu..